Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia,Tony Fernandes. Foto AFP
AGENDANASIONAL

AirAsia dinobat Pemangkin Digital Tahunan Terbaik Asia Pasifik

KUALA LUMPUR, 25 OKT: AirAsia telah dinobatkan sebagai Pemangkin Digital Tahunan Terbaik Asia Pasifik pada Anugerah Transformasi Digital IDC (DXa) 2019, menewaskan lebih 11,000 syarikat lain yang dicalonkan.

Anugerah itu diterima Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Berhad, Tan Sri Tony Fernandes di Pusat Konvensyen Raffles, Singapura, malam tadi.

“Dinobatkan sebagai Pemangkin Digital Terbaik Tahunan bagi Malaysia adalah pencapaian yang amat membanggakan saya. Diiktiraf sebagai yang terbaik di Asia Pasifik membuktikan bahawa program digitalisasi kami mempunyai impak besar terhadap pelanggan kami dan industri, dan saya amat berbangga untuk menerima anugerah ini bagi pihak Allstars (kakitangan AirAsia) hari ini,” kata Fernandes dalam kenyataan, hari ini.

Anugerah itu mengiktiraf keupayaan dan kecemerlangan dalam menggerakkan teknologi inovatif, produk dan perkhidmatan khusus, pengoptimuman pendapatan sampingan serta perkhidmatan pelanggan yang dipertingkatkan.

Teknologi baharu AirAsia termasuk pengkomputeran awan, pengoptimuman harga melalui pembelajaran mesin, peti sembang (chatbox) dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), ciri-ciri aplikasi mudah alih yang dipertingkatkan dan teknologi pengenalan wajah.

IDC DXa juga mengiktiraf kepimpinan, bakat dan infrastruktur luar biasa AirAsia yang membantu menyokong strategi digital baharu syarikat tersebut.

Anugerah itu memberi pengiktirafan terhadap pencapaian organisasi yang telah berjaya melaksanakan transaformasi digital dalam satu atau beberapa bidang perniagaan mereka menerusi aplikasi digital dan teknologi disruptif.

– BERNAMA


Pengarang :