Rohaya Sabot (dua, kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur pada 1 Oktober 2019 atas dakwaan menerima rasuah berhubung pembelian hartanah di Hong Kong. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Bekas setiausaha pejabat didakwa rasuah

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Seorang bekas setiausaha pejabat di Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan rasuah dan dua pertuduhan pilihan menipu berhubung pembelian aset kerajaan iaitu hartanah di Hong Kong, tahun lepas.

Rohaya Sabot,39, yang masih berkhidmat di kementerian sama tetapi jawatan lain, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan yang dihadapinya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita yang memakai baju kurung hitam merah itu didakwa telah secara rasuah meminta suatu suapan daripada Wan Mohamad Wan Yusuf, iaitu wang tunai berjumlah RM3,000.

Wang itu sebagai dorongan untuk dirinya sebagai pegawai badan awam iaitu Setiausaha Pejabat yang bertugas di Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan, iaitu membantu Wan Mohamad selaku wakil bagi syarikat Allied Vantage International Group Limited (AVL) dipilih dan ditawarkan sebagai pembeli bagi aset kerajaan iaitu Bangunan Malaysia beralamat di 47-50,Gloucester Road, Wanchai, Hong Kong.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Papparich Ayer@8, Lot B2-G-2 Ayer 8, Presint 8, Putrajaya, Wilayah Persekutuan pada 25 Nov 2018.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia dituduh telah secara rasuah menerima suatu suapan masing-masing wang tunai berjumlah RM50,000 melalui akaun CIMB bank kepada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya dan RM3,000 melalui deposit tunai kepada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya daripada individu sama (Wan Mohamad) sebagai dorongan melakukan perbuatan serupa.

Dia dituduh melakukan kedua-dua pertuduhan kesalahan itu di Maybank Islamic Berhad Al-Idrus, Cawangan Kuching, di Cawangan Wisma Satok, Tingkat 1, Wisma Satok, Jalan Satok, Kuching, Sarawak pada 14 Disember 2018 dan 26 Disember 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rohaya turut didakwa atas dua pertuduhan pilihan iaitu telah menipu Wan Mohamad selaku wakil bagi syarikat AVL dengan memperdayakan lelaki itu untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh membantu syarikat itu dapat dipilih dan ditawarkan sebagai pembeli yang sama.

Perbuatan itu dengan curangnya mendorong mangsa memindahkan masing-masing RM50,000 dari akaun CIMB Bank ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad milik Rohaya dan memasukkan RM3,000 ke dalam akaun bank milik tertuduh yang mana Wan Mohamad tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh.

Rohaya dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Zander Lim Wai Keong menawarkan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan kerana kesalahan itu serius.

Rohaya yang diwakili peguam Ravin Jay memohon jumlah rendah iaitu RM10,000 kerana anak guamnya menanggung bapanya yang uzur.

“Anak guam saya seorang penjawat awam dan sudah berkahwin. Dia berpendapatan RM5,500 sebulan dan mempunyai komitmen pinjaman perumahan,”katanya.

Hakim Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 29 Oktober untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA


Pengarang :