Rodziah Ismail bergambar bersama peserta Program Hari Kemahiran dan Keusahawanan KEMAS Selangor 2019 di KIP Mall Kota Warisan, Sepang pada 13 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Exco puji inisiatif KEMAS asah bakat usahawan luar bandar

OLEH ALIFF HAIKAL

SEPANG, 12 OKT: Inisiatif Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mewujudkan pelbagai program dalam bidang keusahawanan terutamanya di kawasan luar bandar bagi mengasah bakat usahawan tempatan dipuji.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, ia selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing di Selangor.

“Pada 2018, keluaran domestik dalam Selangor meningkat dengan mendadak sebanyak 23.7 peratus yang kemudiannya disumbangkan kepada negara dalam bidang industri dan perkhidmatan

“Justeru, Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkasa usahawan dengan menyediakan pelbagai peluang kepada usahawan terutamanya di kawasan luar bandar untuk mengasah bakat supaya boleh diterjemah menjadi sumber pendapatan kepada diri dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Kemahiran dan Keusahawanan KEMAS Peringkat Negeri Selangor anjuran KEMAS di KIPP Mall, Kita Warisan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Pembangunan KEMAS Malaysia, Kahar Abdullah, Pengarah KEMAS Selangor, Hanafiah Hassan dan Pengurus KIP Mall, Faizal Hashri.

Rodziah Ismail menyampaikan hadiah kepada peserta Program Hari Kemahiran dan Keusahawanan KEMAS Selangor 2019 di KIP Mall Kota Warisan, Sepang pada 13 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Program dua hari yang berakhir esok antara lain turut menyajikan pelbagai pengisian seperti pertandingan mengubah bunga, pertandingan Masterchef dan pertandingan kolaj kanak-kanak.

Sementara itu, Kahar Abdullah berkata, penganjuran program seperti ini dapat memberi impak positif kepada usahawan luar bandar, sekali gus dapat meningkatkan hasil pendapatan mereka.

“KEMAS kini dalam proses untuk meningkatkan progam keusahawanan melalui kursus keusahawanan bagi melatih usahawan dalam tentang selok belok dalam bidang perniagaan.

“Pada program kali ini, pelbagai aktiviti disediakan seperti pertandingan ‘fashion runaway’, pertandingan ukiran sayur-sayuran dan pertandingan bunga ‘bouquet’,” katanya.


Pengarang :