Pemain pertahanan Bola Sepak Harimau Malaya Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak menanduk bola pada perlawanan persahabatan menentang pasukan Bola Sepak Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tad. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Malaysia tepati ramalan tewaskan Sri Lanka 6-0

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Muhammad Syafiq Ahmad membuktikan dirinya layak menggalas tugas penyerang skuad Harimau Malaya apabila membantu skuad kebangsaan membelasah Sri Lanka 6-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Kedudukan ranking dunia yang jauh berbeza antara Sri Lanka dengan kedudukan ke-202 berbanding Malaysia di kedudukan 158, jelas membuktikan kemenangan itu sudah dijangkakan.

Kemenangan berjaya itu menyuntik semangat anak buah Tan Cheng Ho untuk bersiap berdepan dengan Vietnam dalam pusingan kedua aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Hanoi, Khamis depan.

Malaysia tidak menunggu lama untuk merobek pintu gol Sri Lanka apabila Muhammad Syafiq menyudahkan hantaran meleret daripada Safawi Rashid untuk gol pembukaan seawal minit kesembilan sebelum melengkapkan jaringan hatrik dengan percubaan pada minit ke-76 dan ke-89.

Gol kedua Malaysia pula dihasilkan oleh pemain pertahanan Shahrul Saad yang mengambil kesempatan daripada situasi kelam-kabut di depan pintu gol Sri Lanka, hasil sepakan penjuru Safawi pada minit ke-14 sebelum tiba giliran penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-17.

Pada babak kedua perlawanan, skuad negara bersemangat untuk menambah jaringan dengan melancarkan serangan bertali arus sebelum pemain muda, Muhammad Akhyar Rashid meledak jaringan keempat selepas menerima hantaran lintang Norshahrul pada minit ke-51.

Dalam tujuh pertemuan sebelum ini, Malaysia hanya tewas sekali dan pada pertemuanan terakhir di Stadium Sugathadasa, Colombo, 12 Oktober tahun lalu, skuad negara menang 4-1.

-BERNAMA


Pengarang :