AGENDANASIONAL

MOA sasar 1,000 peserta menerusi Program Rezeki Tani

PONTIAN, 27 OKT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyasarkan 1,000 peserta bagi tempoh dua tahun menerusi Program Rezeki Tani bagi golongan petani dan nelayan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menerusi program berkenaan golongan sasar akan dibantu menerusi bantuan dalam bentuk barangan bernilai RM10,000.

“Jadi bagi dua tahun ini, kita menyasarkan 1,000 peserta di mana istimewanya, kita sendiri mencari golongan yang perlu kita bantu bukannya orang datang pada kita mengaku mereka miskin tetapi kita yang mencari golongan sasar yang telah membuktikan dengan segala kesusahan, mereka telah mulakan projek kecil dan kita akan bantu dalam bentuk barangan bernilai RM10,000.

“Dan Insya Allah sekiranya saya nampak program ini berkesan, saya tidak akan melengahkan untuk meminta ditambah peruntukan untuk bantu golongan ini pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Perikanan: Road To HPPNK 2019 di Pusat Perdagangan Pontian di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi.

Dalam majlis sama, Salahuddin berkata, MOA sedang merangka pelan tindakan atau “Blue Print” bagi membantu golongan nelayan pantai dan pesawah untuk keluar dari golongan B40.

Katanya, pelan tindakan berkenaan dijangka dapat dikemukakan awal tahun depan.

“Kita juga telah merangka beberapa polisi baru, mengemaskini peraturan yang perlu diperkemaskan dan mana yang baik, kita berdayakan supaya kita dapat menampilkan satu pendekatan baru yang segar.

“Ada dua blueprint untuk pesawah dan nelayan sedang dibincangkan. Insya Allah, kita sedang merangka polisi baru ini dan kita akan kemukakan dalam tempoh waktu yang kita rasakan boleh mulakan awal tahun hadapan,” katanya lagi.

– BERNAMA


Pengarang :