Penguat kuasa MPS membersihkan kawasan kediaman yang dijadikan stor perabot lama. Foto ihsan MPS
PBTSELANGOR

MPS ‘bersih’ rumah simpan perabot lama

RAWANG, 31 OKT: Gara-gara gagal mematuhi notis peringatan dikeluarkan, sebuah rumah yang dijadikan stor perabot lama di Bandar Tasik Puteri, di sini dibersihkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), semalam.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata laporan diterima melalui sistem e-aduan berhubung aktiviti di rumah teres dua tingkat itu mengundang ketidakselesaan penduduk.

Susulan itu katanya MPS mengeluarkan dua notis peringatan bertarikh 8 Oktober dan 25 Oktober lalu terhadap pemilik rumah terbabit untuk melakukan kerja pembersihan.

“Bagaimanapun, pemilik masih ingkar dan memaksa kita mengambil tindakan dengan membersihkan kawasan perkarangan rumah di bawah Seksyen 82 (Hapus kacauganggu), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Sebanyak dua tong roro dipenuhi barangan perabot lama yang dibersihkan,” katanya dalam kenyataan.

Operasi bersepadu bermula 10 hingga 11 pagi itu membabitkan 20 anggota penguat kuasa MPS termasuk enam enam pegawai dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS.

Mohamad Zin berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap orang awam yang dikesan mengabaikan aspek kebersihan rumah sehingga mengganggu keselesaan jiran dan penduduk sekitar.

“Kita khuatir kawasan rumah berpotensi untuk menjadi tempat takungan air dan pembiakan jentik-jentik,” katanya.


Pengarang :