Amirudin Shari menyampaikan ucapan dalam Majlis Apresiasi Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Majlis Guru Besar Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 4 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Pendidikan antara tumpuan Belanjawan Selangor 2020

SHAH ALAM, 4 OKT: Kluster pendidikan akan menjadi tumpuan utama Kerajaan Negeri dalam intipati Belanjawan Selangor 2020 yang akan dibentangkan November hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) berteraskan hubungan internet semakin menjadi perhatian dunia menerusi penggunaan aplikasi seharian.

“Guru Besar perlu ambil maklum perkembangan IR 4.0 untuk memenuhi ruang pekerjaan pada masa hadapan seperti yang digagas Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah Negeri Pintar 2025.

“Kerangka pendidikan adalah akar penting yang akan kita tekankan dalam belanjawan akan datang.

“Tiada guna kalau kemajuan dikecapi tidak mampu digalas dan dikembangkan oleh anak-anak yang kita didik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Majlis Apresiasi Dato’ Menteri Besar Bersama Majlis Guru Besar Selangor di Dewan Megawati, Kediaman Rasminya di sini, hari ini.

Sebahagian Guru Besar mendengar ucapan Amirudin Shari dalam Majlis Apresiasi Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Majlis Guru Besar Selangor bertempat di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 4 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Amirudin berkata, beberapa program pendidikan yang telah dilaksanakan sebelum ini seperti Tuisyen Rakyat dan Selangor Brain Bank akan dikembangkan dengan perbincangan bersama Majlis Guru Besar (MGB) Selangor.

Di samping itu, Kerajaan Negeri turut berhasrat untuk mengembangkan program Tuisyen Rakyat kepada pelajar sekolah kebangsaan supaya pelajar yang menduduki peperaksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memperoleh keputusan cemerlang sama seperti pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

MGB Selangor terdiri daripada 449 ahli dalam kalangan Guru Besar sekolah rendah yang diketuai Sukimin Juki selaku Yang Dipertua.

Objektif majlis itu adalah untuk menghargai Guru Besar yang disifatkan sebagai wira tidak didendang (unsung hero) dalam bidang pendidikan di samping kesetiaan sepanjang berkhidmat mendidik pelajar.

Dalam majlis sama, Amirudin menyampaikan Anugerah Khas Kepimpinan kepada enam bekas ahli jawatankuasa tertinggi MGB Selangor dan sijil penghargaan kepada semua Pengerusi, Setiausaha serta Pegawainya.

Bagi Anugerah Setia Perkhidmatan, tujuh orang Guru Besar menerima Anugerah Platinum atas perkhidmatan lebih 25 tahun, 12 penerima Anugerah Emas (20 tahun) serta 20 penerima Anugerah Perak (15 tahun).


Pengarang :