Salahuddin Ayub berucap pada majlis Perasmian Jelajah Jualan Terus Dari Ladang Peringkat Selangor 2019 di AEON Mall Shah Alam pada 24 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.
AGENSISELANGOR

Program Jualan Terus Dari Ladang raih jualan RM5.6 juta

SHAH ALAM, 24 OKT: Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) anjuran FAMA yang diperkenalkan di seluruh negara sejak Mac sehingga September lalu telah mencatatkan kutipan sebanyak RM5.6 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, program JTDL yang diadakan di pasar raya sahaja meraih jualan RM1.3 juta dengan membabitkan seramai 143 orang usahawan tani dari seluruh negara.

“Program JTDL menawarkan harga produk pertanian dan industri asas tani kepada pembeli lebih murah iaitu antara lima hingga 20 peratus berbanding harga di pasaran biasa.

“Petani atau pengeluar juga mendapat pulangan lebih munasabah iaitu sekitar 50 peratus bagi setiap hasil pertanian dijual kepada pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian JTDL di pasar raya AEON Mall, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, peserta program mampu mendapat pulangan tinggi kerana produk jualan hasil pertanian masing-masing dijual secara terus oleh peserta Ladang Kontrak FAMA, tanpa melibatkan orang tengah.

Katanya, pihak FAMA memulakan program jelajah JTDL di pasar raya bermula 27 September 2018 di AEON Mall Shah Alam sebelum diperluaskan ke lapan pasar raya lain di seluruh negara.

“Kementerian dan FAMA menganjurkan program JTDL bagi membantu usahawan tani mendapat pendedahan cara mempromosi produk dihasilkan mereka seperti dari segi susunan produk supaya lebih kemas bagi menarik pembeli,” katanya.


Pengarang :