Sultan Sharafuddin Idris Shah menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas The Royal Selangor Yacht Club (RSYC), di Pelabuhan Klang, baru-baru ini.
AGENSISELANGOR

Sultan Selangor hadir sambutan Jubli Emas RSYC

SHAH ALAM, 29 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM), Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas The Royal Selangor Yacht Club (RSYC), di Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Pejabat Istana Selangor dalam kenyataan berkata, baginda turut berkenan memotong kek, selain menyaksikan persembahan video sempena 50 tahun penubuhan kelab berkenaan.

“RSYC adalah kelab kapal layar terbesar dan mempunyai keanggotaan paling aktif di Malaysia.

“Sepanjang 50 tahun lalu, kelab ini menyediakan latihan pelayaran, berenang, menganjurkan acara berlayar dan perahu layar serta aktiviti memancing,” kata kenyataan itu.

Pada majlis sama, keberangkatan baginda diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj serta disambut oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Commodore RSYC, Jeffrey Voon.

Kelab RSYC bermula pada 1969 dengan nama Kelab Swettenham Yacht Club sebelum ditukar kepada Selangor Yacht Club pada 1972.

Pada 1989 Selangor Yacht Club dinamakan dengan nama Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu RSYC.


Pengarang :