Pembangunan Kampung Baru dirancang bagi memastikan kawasannya lebih menarik dan teratur. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tanah Kampung Baru RM1,000 bagi setiap kaki persegi

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Kerajaan hari ini menawarkan RM1,000 bagi setiap kaki persegi sebagai harga muktamad untuk membeli tanah bagi pembangunan semula Kampung Baru, di sini.

Kadar itu ditetapkan berdasarkan perbincangan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dengan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dan persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Khalid berkata, daripada kadar RM1,000 satu kaki persegi itu, RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan bentuk pulangan yang dipilih pemilik manakala baki RM150 pulangannya adalah dalam bentuk pegangan saham ke atas Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Katanya, bagi bayaran kadar RM850 pemilik boleh memilih sama ada dibayar tunai, atau dalam bentuk pulangan unit siap; kombinasi pulangan tunai dan unit siap serta pulangan sebagai pemegang saham dalam syarikat tujuan khas seperti yang dinyatakan dalam opsyen tawaran jual beli ketika sesi townhall 21 September lepas.

“Kita nak galakkan supaya orang Melayu datang balik dan duduk di Kampung Baru selepas pembangunan (siap) dan mereka ada saham.

“Bila dia (pemilik tanah) ada saham dia boleh bersuara, beri cadangan (terhadap) apa yang kita bentangkan, mereka tidak hilang kawalan sepenuhnya, bukan jual habis dan tak boleh kata apa-apa dah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Kata beliau, bagi pemilik yang memilih untuk mendapatkan pulangan dalam bentuk unit siap, tambahan potongan harga sejumlah 15 peratus akan diberikan.

Katanya, perincian dari segi struktur pegangan saham akan diperhalusi oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan akan dimuktamadkan sebelum perjanjian ditandatangani kelak.

“Sehubungan itu, kerajaan ingin menyeru semua pemilik tanah Kampung Baru yang terlibat untuk mengemukakan borang maklum balas mengenai persetujuan pembangunan semula sebelum 30 November ini,” katanya.

Pada 21 September lepas, Khalid mengumumkan kerajaan menawarkan RM850 bagi setiap kaki persegi bagi pengambilan tanah untuk pembangunan semula Kampung Baru dan ia adalah kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

Khalid dilaporkan berkata, pemilik dan pewaris tanah boleh memilih antara empat tawaran jual beli iaitu dalam bentuk pulangan tunai, pulangan unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap serta pulangan sebagai pemegang saham dalam syarikat tujuan khas.

Bagaimanapun, sebahagian besar penduduk berpendapat tawaran harga itu tidak setimpal memandangkan lokasi strategik penempatan itu dan meminta kerajaan mengkajinya semula.

– BERNAMA


Pengarang :