Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2019 untuk perbicaraan kes yang dihadapinya membabitkan rasuah lebih RM3 juta berhubung kelulusan pembelian sebuah hotel di Kuching. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiada laporan mengenai pembelian hotel lebih RM100 juta

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Ahli Lembaga Pengarah atau pengurusan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa walaupun pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) bernilai RM160 juta di Kuching, Sarawak melebihi mandat RM100 juta yang ditetapkan oleh Lembaga Pengarah Felda.

Perkara itu dimaklumkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid Abdul Jalil, 48, semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada hari ketujuh perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berhubung pembelian MPHS di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Afzainizam: Boleh jelaskan kenapa tiada laporan oleh mana-mana Ahli Lembaga Pengarah FICSB?

Mohd Zaid: Saya tak boleh cakap bagi pihak Ahli Lembaga Pengarah yang lain, bagi pendapat saya tidak menjadi kesalahan di peringkat FICSB sebab ia berdasarkan keputusan Lembaga Pengarah FICSB.

Saksi pendakwaan ke-15 itu berkata keputusan pengurusan FICSB untuk menandatangan perjanjian jual dan beli, membuat bayaran kepada pemilik hotel (Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd) selaras dengan keputusan dan kelulusan Lembaga Pengarah FICSB.

Terdahulu, Mohd Zaid berkata, pihak pengurusan FICSB mencadangkan untuk menukar nama MPHS kepada Grand Plaza Kuching supaya sama seperti rangkaian hotel lain di bawah Felda dan FICSB iaitu Grand Plaza Bayswater dan Grand Plaza Kensington yang kedua-dua terletak di London, United Kingdom.

Beliau berkata Ahli Lembaga Pengarah FICSB membuat keputusan untuk meluluskan permohonan pihak pengurusan syarikat itu bagi mendapatkan peruntukan RM7.34 juta dan penukaran nama kepada Grand Plaza Kuching.

“Pihak FICSB telah membuat dua bayaran dengan menggunakan dana sedia ada syarikat itu. Selepas dua bayaran ini, pihak FICSB cuba untuk mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank sejak bulan Disember 2014 tetapi gagal.

“Pihak pengurusan FICSB telah membuat keputusan untuk mendapatkan (wang) pendahuluan jangka pendek daripada Felda. Saya telah mengarahkan Ketua Pegawai Kewangan FICSB Aznam Shahudin untuk menghantar surat (mendapatkan pendahuluan) kepada Pengarah Kewangan Felda Mohd Shahrin Mohd Ali,” katanya semasa membaca penyataan saksinya.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

-BERNAMA


Pengarang :