AGENSISELANGOR

Tiga Ford Ranger Raptor dilari lelaki berparang

SHAH ALAM, 10 OKT: Tiga pacuan empat roda di sebuah pusat pameran kenderaan di Sungai Jelok, Kajang, lesap dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki, awal pagi semalam.

Suspek yang dipercayai terdiri daripada lima lelaki itu disyaki memecah masuk ke premis berkenaan kira-kira jam 4 pagi sebelum membawa lari tiga kenderaan Ford Ranger Raptor.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Polis Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, menurut saksi kejadian, seorang lelaki warga Pakistan, 47, yang merupakan pengawal keselamatan premis berkenaan, menyatakan suspek menceroboh premis itu menggunakan senjata parang.

“Suspek yang bersenjatakan parang juga bertindak mengikat pengawal keselamatan itu sebelum melarikan kenderaan tersebut.

“Nilai kerugian dalam kejadian berkenaan dianggarkan lebih kurang RM600,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,” katanya hari ini.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan kesemua suspek terbabit dan meminta orang ramai tampil ke balai polis berdekatan sekiranya mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut.

Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hafizah Abdul Latiff di talian 016-606 0955, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :