Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bergambar bersama Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA, Nurul Huda Abdullah dan atlet Sukan SEA pada Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia Sukan SEA 2019 di Bangi pada 19 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Filipina selaku tuan rumah Sukan SEA belum sedia sepenuhnya

BANGI, 20 NOV: Belum selesai isu venue yang tidak siap dalam masa yang ditetapkan, kini sistem pemarkahan dan pemasaan bagi beberapa acara pula menjadi kerisauan kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Filipina.

Ketua kontinjen negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sehingga kini sistem pemarkahan dan pemasaan masih dalam status ‘kerja dalam proses’ .

“Saya tidak risaukan kontinjen kerana mereka semua sudah bersedia. Yang merisaukan sekarang ialah tahap kesediaan tuan rumah. Kita dengar berita berlaku banyak masalah di sana dan saya ada buat semakan, usaha sedang dijalankan.

Saya juga ada berurusan dengan mereka yang dilantik untuk menyediakan sistem pemarkahan dan pemasaan, kebetulan syarikat dari Malaysia itu dilantik di saat akhir untuk menyelesaikan masalah sistem pemarkahan dan pemasaan.

“Katanya, kerja dalam proses, kita mengharapkan mereka dapat selesaikan masalah itu dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-30, hari ini.

Perhimpunan selama tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis melibatkan penyertaan 708 barisan atlet dan pegawai bagi memberi motivasi dan semangat sebelum kontinjen negara beraksi di Filipina.

Disamping dibebani dengan masalah itu, Megat Zulkarnain berharap tidak berlaku sebarang penukaran venue pertandingan di saat akhir oleh tuan rumah Sukan SEA.

Megat Zulkarnain juga berkata, kesemua atlet negara yang layak ke Sukan SEA Filipina telah lulus ujian saringan kesihatan yang ditetapkan tuan rumah namun seorang atlet telah diganti ekoran masalah kesihatan.

Sementara itu, timbalan ketua kontinjen yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, suntikan vaksin polio akan diberikan kepada atlet dan juga pegawai sepanjang program tiga hari itu.

“ISN ada sediakan kaunter untuk suntikan vaksin polio. Pengambilan vaksin polio baru sahaja diputuskan pada minggu lepas. Kita tidak wajibkan tapi menyarankan mereka agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini nanti.

“Jika ada antara mereka yang tidak mahu, mereka perlu tandatangan perjanjian dengan ISN. Tapi buat masa sekarang, boleh dikatakan semua atlet setuju untuk ambil vaksin polio,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Faedzal berkata, hampir 90 peratus atlet dan pegawai telah mengambil suntikan vaksin bagi mencegah wabak demam campak.

Untuk rekod, 774 atlet akan mewakili negara dalam 52 daripada 56 acara yang dipertandingkan.

Sukan SEA 2019 yang akan membuka tirai pada 30 November hingga 12 Disember ini akan diadakan di tiga kluster utama iaitu Manila, Clark dan Subic.

– BERNAMA


Pengarang :