AGENDA NASIONAL

Kerajaan rugi RM90 juta kenderaan import ‘lari’ cukai

TUMPAT, 25 NOV: Kerajaan kerugian kira-kira RM90 juta pada tahun ini berikutan 1,800 kenderaan import yang dibawa masuk ke negara ini ‘lari’ daripada membayar cukai.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri Paddy Abdul Halim berkata kesemua kenderaan tersebut disita sejak Januari hingga semalam di seluruh negara menerusi pelbagai operasi yang dijalankan oleh agensi itu.

“Kenderaan ini pada mulanya dibawa masuk ke dalam negara tanpa pengecualian cukai buat sementara waktu namun ada sindiket dan individu tertentu menggunakan pelbagai helah untuk mengelakkan daripada membayar cukai.

“Kenderaan itu pula dijual dengan harga murah kepada pelanggan dan melanggar undang-undang kerana tidak memiliki geran dan cukai jalan yang sah,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara helah yang digunakan ialah menukar nombor plat kenderaan dan memalsukan geran serta nombor casis kenderaan.

“Kebanyakan kenderaan itu dibawa masuk dari Singapura dan sindiket yang terlibat menukarkan nombor plat kenderaan asal kepada nombor plat Thailand.

“Kita juga mengesyaki kemungkinan penglibatan orang dalam dan siasatan terperinci akan dijalankan berhubung perkara ini. Bagaimanapun tiada sebarang suspek ditahan setakat ini,” katanya.

Paddy berkata di Kelantan sahaja, pihaknya telah menyita sebanyak 111 kenderaan bernilai RM2.8 juta dan kerugian cukai sebanyak RM3.8 juta pada tahun ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan mana-mana pihak yang menawarkan kereta import seperti Mercedes, Honda dan sebagainya dengan harga yang murah kerana kemungkinan ia merupakan kereta klon.

“Orang ramai boleh membuat semakan dengan JKDM bagi memastikan kenderaan yang dibeli adalah sah di sisi undang-undang kerana ia boleh merisikokan pembeli jika berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :