Penasihat undang-undang UMNO Datuk Mohd Hafarizam Harun.
AGENDANASIONAL

Kes AMLA Hafarizam akan dibicara di Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pembela untuk memindahkan kes penasihat undang-undang Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun berhubung dakwaan pengubahan wang haram membabitkan RM15 juta, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak hari ini. Tarikh untuk perbicaraan masih belum ditetapkan.

Terdahulu ini, perbicaraan telah ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Sesyen memandangkan kes itu asalnya dari Mahkamah Sesyen.

“Mahkamah itu membenarkan permohonan pihak pembela di bawah Section 417 (1) (e) Kod Prosidur Jenayah,” kata hakim itu selepas mendengar permohonan daripada peguam Datuk Hasnal Rezua Merican, mewakili Mohd Hafarizam, 47, yang sebelum ini mewakili Najib dalam kes-kes awamnya.

Terdahulu, peguam itu berkata pihak pendakwa raya mahu kes itu didengar di Mahkamah Tinggi kerana hakim Mahkamah Sesyen mungkin tidak akan memberi pelanggannya satu perbicaraan yang adil.

“Beliau mungkin merasa dipaksa untuk setuju dan menyokong hasil penemuan oleh Mahkamah Tinggi walaupun dia tidak tertakluk kepadanya,” katanya dan menambah bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen bersandarkan elemen kes berkenaan.

Hasnal Rezua merujuk kepada kes bekas Perdana Menteri, di mana kesnya berasal dari Mahkamah Sesyen tetapi kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicara.

Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul tidak membantah kepada permohonan pihak pembela.

Pada 21 Februari tahun ini, Mohd Hafarizam mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan cek RM15 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Tun Razak yang dimasukkan dalam bank akaun firma guamannya.

Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh memasukkan dua cek berjumlah RM11.5 juta dari Najib ke dalam akaun bank firma guamannya, Messrs. Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), pada 16 April dan 4 November 2014.

Mohd Hafarizam juga dituduh melakukan kesalahan yang seumpama dengan memasukkan satu cek RM3.5 juta dari Najib dalam akaun yang sama pada 12 Februari 2015.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

– BERNAMA


Pengarang :