AGENDANASIONAL

KKM pantau penyakit berkaitan vape di dalam, luar negara

PUTRAJAYA, 9 NOV: Kementerian Kesihatan peka mengenai kes penyakit berkaitan vape yang dilaporkan di seberang laut dan akan terus memantau keadaan itu di dalam negara, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, kementerian akan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan kes sedemikian yang berlaku di dalam negara akan dilaporkan dan diberikan rawatan sepatutnya.

“Kementerian Kesihatan sedang memantau semua penyakit berkaitan vape di peringkat antarabangsa dan tempatan, katanya ketika diminta mengulas laporan agensi media asing yang memetik Pusat untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit, yang menyatakan angka kematian daripada penyakit paru-paru misteri yang dikaitkan dengan penggunaan rokok elektronik, meningkat kepada 39, di Amerika Syarikat.

Laporan itu juga berkata, agensi kesihatan AS itu yang mengumpul maklumat mengenai penularan aduan berkaitan penyakit paru-paru itu dari 49 negeri daripada keseluruhan 50 negeri, mendapati sekarang ada 2,051 kes berkenaan di seluruh AS, hampir 200 lagi dari seminggu lepas.

Sementara itu di peringkat tempatan, seorang remaja dimasukkan ke dalam Hospital Nukleus Labuan berikutan kerosakan dalaman yang serius pada paru-parunya yang disyaki akibat menghisap vape, menjadikannya kes pertama dilaporkan di negara ini.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar komplikasi paru-paru remaja lelaki berusia 17 tahun.

– BERNAMA


Pengarang :