AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Orang ramai boleh beri maklum balas projek ECRL KB-Dungun

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mengumumkan cadangan jajaran baharu dari Kota Bharu (KB) ke Dungun, semasa Pemeriksaan Awam yang akan bermula pada Isnin, 25 November 2019, menurut Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

MRL dalam kenyataannya hari ini berkata, orang awam boleh memberi maklum balas dan cadangan mengenai laluan Kota Bharu-Dungun (juga dikenali sebagai Seksyen A) yang merangkumi 210.4 kilometer (km) laluan utama, cadangan jajaran sisihan sepanjang 14.4km untuk masa hadapan dan enam stesen penumpang/kargo, sepanjang Pemeriksaan Awam ECRL selama tiga bulan itu.

Jajaran baharu Seksyen A, ECRL mencadangkan dua stesen untuk Kelantan iaitu Kota Bharu dan Pasir Puteh, manakala Terengganu akan mempunyai empat stesen, masing-masing di Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Dungun.

Cadangan jajaran sisihan sepanjang 1.4km itu dijangka menghubungkan laluan utama ECRL di Kelantan dengan pelabuhan Tok Bali.

Laluan Utama Kota Bharu-Dungun atau Seksyen A sepanjang 210.4km melibatkan 43.9 jajaran rel di Kelantan dan 166.5km lagi di Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, cadangan jajaran baharu Seksyen A adalah selari dengan nilai kejuruteraan komprehensif yang membawa kepada penjimatan kos projek ECRL yang ditambah baik.

Beliau berkata, jajaran sejauh 210.4km itu juga akan dibina di kawasan pedalaman berbanding kawasan berhampiran pantai di Kelantan dan Terengganu.

Darwis berkata, MRL telah menerima kelulusan bersyarat Skim Kereta Api bagi Seksyen A daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 4 November 2019, yang membolehkan Pemeriksaan Awam dilakukan bagi memastikan projek itu turut mengambil kira pendapat dan jangkaan penduduk tempatan terhadap cadangan jajaran baharu.

Tapak pameran Pemeriksaan Awam untuk Seksyen A akan beroperasi pada hari bekerja, bertempat di Ibu Pejabat APAD di Kuala Lumpur dari 25 November 2019 hingga 24 Februari 2020 manakala lokasi bagi pemeriksaan awam di Kelantan dan Terengganu akan diumumkan dari semasa ke semasa dalam tempoh tiga bulan.

“Kami juga telah memulakan penilaian kesan alam sekitar, penilaian kesan sosial, dan penilaian kesan warisan untuk Bahagian A kepada pihak berkuasa kerana laporan ini merupakan antara prasyarat untuk mendapatkan kelulusan Skim Kereta Api daripada APAD,” katanya.

“Orang ramai juga boleh melayari laman web MRL (www.mrl.com.my) atau mengakses platform media sosial projek ECRL untuk maklumat terkini dan perincian pelaksanaan Pemeriksaan Awam,” katanya.

Mengenai kemajuan ECRL, Darwis berkata, secara keseluruhan projek itu siap 12.86 peratus berbanding 10.18 peratus pada Jun 2019, dengan kerja-kerja pembinaan melibatkan terowong dan jejambat di sepanjang jajaran Dungun-Mentakab 223km (juga dikenali sebagai Bahagian B) sedang berjalan mengikut perancangan.

“Pembersihan tapak dan kerja tanah sedang giat dilaksanakan di beberapa tapak pembinaan di sepanjang Seksyen B, yang tidak terlibat dalam perubahan jajaran selepas pemulihan projek ECRL yang lebih baik pada April 2019,” katanya.

ECRL, yang dijadualkan siap pada Disember 2026, akan mempunyai rangkaian kereta api 640km dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang dan dijangka mengurangkan masa perjalanan antara Kota Bharu dan Putrajaya kepada hanya empat jam.

– BERNAMA


Pengarang :