EXCOSELANGOR

Selangor catat 1.86 juta pelancong domestik setakat Jun

SHAH ALAM, 7 NOV: Selangor berjaya mencatatkan kedatangan pelancong domestik sebanyak 1.86 juta bermula Januari hingga Jun lalu, kata Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Katanya, ia adalah peningkatan sebanyak empat peratus berbanding jumlah pelancong domestik bagi tempoh sama pada 2018.

“Tourism Selangor giat menjalankan promosi untuk terus menggalakkan aktiviti pelancongan ke negeri ini.

“Penyertaan Tourism Selangor melalui siri promosi dalam negara seperti Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) dan Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) juga menyasarkan pasaran pelancong domestik dari dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian bagai menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran pada Sidang Dewan Negeri berhubung pengunjung domestik serta usaha kerajaan menarik lebih pelancong ke negeri ini.

Rashid berkata, Tourism Selangor juga mengadakan program Skuad Kembara Sekolah bagi memperkenalkan lagi destinasi pelancongan kepada guru dan pelajar sepanjang tahun ini.

Katanya, ia adalah program interaktif memberi kesedaran dan menggalakkan pelancongan domestik dalam kalangan masyarakat tempatan ke Selangor.

“Usaha meningkatkan jumlah pelancong turut dilakukan dengan kerjasama syarikat penerbangan antaranya Malindo Air dan Air Asia di dalam menganjurkan program ‘Familiarization Trip’ atau FAM Trip.

“Melalui program itu kita berharap supaya agensi pelancongan luar dari Selangor menghasilkan pakej pelancongan untuk ditawarkan kepada pasaran domestik di Malaysia,” katanya.


Pengarang :