AGENSI SELANGOR

Air Selangor galak pengguna daftar e-bil

SHAH ALAM, 16 DIS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggalakkan pengguna beralih kepada perkhidmatan bil dalam talian (e-bil) kerana dapat mengurangkan penggunaan kertas selain mudah dan pantas.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Abdul Halem Mat Som berkata, kaedah e-bil menerusi emel itu pengguna boleh membuat pembayaran bil air tidak kira waktu dan di mana sahaja secara dalam talian tanpa perlu membawa bil fizikal.

“Kaedah e-bil ini sudah bermula sejak Januari tahun lalu, dan sehingga kini 400,000 pengguna telah menggunakannya.

“Buat masa ini kami mensasarkan 200,000 lagi akan menggunakan e-bil sekali gus menjadikan 600,000 pengguna menjelang suku pertama pada 2020,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Air Selangor adalah syarikat milik sepenuhnya Kerajaan Selangor ditubuhkan pada 26 Februari 2014 di bawah Akta Syarikat Malaysia 1965 untuk menyediakan perkhidmatan air secara holistik di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian 15300 atau dapatkan maklumat serta status terkini melalui aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :