BERITA UTAMASELANGOR

Loji air tercemar: 328,957 pemegang akaun terjejas

SHAH ALAM, 21 DIS: Sebanyak 348 kawasan membabitkan 328,957 pemegang akaun terjejas ekoran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihentikan sementara kerana disyaki berlaku pencemaran bau.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, kawasan yang terjejas membabitkan Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

“Keempat-empat wilayah itu menerima sumber bekalan air terawat dari loji terbabit. Pengguna kawasan ini terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual dan berskala besar.

Katanya, pasukan pemantauan sungai terdiri daripada Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah digerakkan untuk mengenal pasti punca pencemaran bau di sepanjang Sungai Semenyih.

“Anak-anak sungai di sekitar Sungai Semenyih  disyaki berpotensi menyumbang kepada pencemaran bau terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Halem berkata, pihaknya sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menggiatkan bantuan kepada pelanggan-pelanggan yang terjejas ekoran insiden ini.

Katanya, pihaknya belum dapat menjangkakan tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan.

“Ini bergantung kepada tahap punca pencemaran dan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran sumber air mentah ini sedang dikenal pasti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Orang ramai disaran merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Instagram atau laman sesawang kami www.airselangor.com untuk maklumat lanjut yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Pada jam 7.45 pagi tadi, LRA Sungai Semenyih dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji ini.


Pengarang :