AGENSISELANGOR

KPDNHEP Selangor pantau harga barang menjelang Tahun Baharu Cina

SUBANG JAYA, 27 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), sebagai usaha menyekat kenaikan harga barangan menjelang Tahun Baharu Cina.

Timbalan Pengarahnya, Azizan Abdullah berkata langkah itu sekali gus melindungi pengguna daripada peniaga yang mengambil keuntungan berlebihan.

“Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kesesuaian untuk memastikan harga barangan berpatutan kepada pengguna serta peniaga.

“Kementerian akan mengenal pasti barangan yang dikawal bagi pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina dan melaksanakan pemantauan serta pemeriksaan,” katanya pada Majlis Anugerah Syor Pengguna 2019 (2019 Consumer Recommended Award) di Hotel Geno di sini.

Hadir sama, Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Dato’ Paduka Dr Key KV Yeo dan Yang Dipertua MTPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, John Lok.

Pada masa sama, Azizan berkata seramai 197 pegawai penguat kuasa akan memantau dan memeriksa pengilang, pengedar, pemborong serta peruncit di seluruh negeri.

“KPDNHEP Selangor turut bekerjasama dengan pegawai pemantau harga yang merupakan mata dan telinga pihak kami bagi menjalankan pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata kenaikan harga akan dipantau melalui Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatuan 2011 supaya setiap harga selaras dengan peraturan berkenaan.

“Sehubungan itu, saya menyarankan supaya peniaga mengikuti arahan dan beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna mesti mengetahui tanggungjawab dan hak mereka,” katanya.


Pengarang :