YDP Majlis Perbandaran Subang Jaya, Noraini Roslan (tengah) bergambar selepas Majlis Pengiktirafan dan Penyampaian Anugerah J3P MPSJ 2018/2019 di Ibu Pejabat MPSJ, Subang Jaya pada 23 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Pasar bawah MPSJ berwajah baharu

SUBANG JAYA, 24 DIS: Landskap pengurusan pasar malam dan pasar pagi di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melalui perubahan drastik selepas hampir empat tahun penubuhan Ahli Jawatankuasa Penyelarasan dan Penggerak (J3P).

Pengarah Pelesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, perubahan itu dilihat dari aspek pengurusan kebersihan, khususnya membabitkan kawalan perniagaan, keselamatan dan pembangunan usahawan penjaja kecil.

“Sejak ahli J3P bersama kita, penyusunan pasar malam lebih teratur selain penggunaan khemah yang seragam. Paling penting, kita berjaya mengurangkan kos pengurusan membabitkan keperluan asas seperti bayaran pembersihan kepada kontraktor.

“Malah, keselamatan pengunjung lebih terjamin kerana kawasan pasar dikawal rapi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia yang dibiayai sendiri melalui wang kutipan oleh ahli J3P.

“Ahli J3P juga mengawal selia kemasukan peniaga haram yang tidak berlesen dengan ketat. Jadi semua peniaga di pasar malam mahupun pasar pagi mengusahakan perniagaan secara sah,” katanya.

Pengarah Pelesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan bercakap kepada media selepas Majlis Pengiktirafan dan Penyampaian Anugerah J3P MPSJ 2018/2019 di Ibu Pejabat MPSJ, Subang Jaya pada 23 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui pada Majlis Pengiktirafan dan Penyampaian Anugerah J3P MPSJ Bagi Tahun 2018/2019 yang disampaikan Yang Dipertuanya, Noraini Roslan di Laman Kenangan MPSJ di sini, semalam.

Edisi kedua pertandingan itu menyaksikan sebanyak tujuh anugerah merangkumi dua kategori utama iaitu individu (Anugerah Khas Kepujian, Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Khas Pengerusi) dan kumpulan (Anugerah Khas Kecemerlangan, Anugerah Pasar Malam Terbaik, Anugerah Pasar Pagi Terbaik dan Anugerah J3P Terbaik).

Kesemua 46 ahli dipilih berdasarkan penilaian kriteria seperti usaha ditonjolkan, kerjasama antara ahli pasukan, kepatuhan undang-undang, kejayaan pelaksanaan program serta proaktif, inovatif dan kreatif.

Mengulas lanjut, Muhammad Azli berkata, pengiktirafan itu sebagai menghargai penglibatan ahli yang banyak menabur khidmat bakti sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, ia selari dengan kehendak Local Agenda 21 dengan menekankan penyertaan masyarakat dalam perancangan pengurusan dan pembangunan MPSJ.

“Kalau dulu hanya PBT bertanggungjawab menguruskan pasar malam, sebaliknya peniaga tidak ambil peduli tentang apa yang berlaku dan mereka sekadar berniaga.

“Kita akan terus mengekalkan jaringan kerjasama ini dengan peniaga bagi mengangkat standard pasar malam ke tahap lebih tinggi kerana kita tidak mahu ia berfungsi seperti dahulu lagi sehingga mengundang ketidakselesaan kepada orang ramai,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 20 lokasi pasar malam dan 15 pasar pagi beroperasi di bawah pentadbiran MPSJ setakat ini.


Pengarang :