Selangor menguatkuasakan larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainaan serta rekreasi.
AGENDANASIONAL

Penguatkuasaan penuh larangan merokok bermula 1 Januari 2020

SHAH ALAM, 30 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan bermula 1 Januari 2020 dengan kompaun maksimum sehingga RM350.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemilik premis turut bertanggungjawab memastikan tempat makan bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok atau berdepan kompaun jika gagal berbuat demikian.

“Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250. Kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan daripada tarikh izin kompaun diterima.

“Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan. Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

“Bagi tujuan penguatkuasaan penuh bermula tempoh sama, pemilik premis boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350,” katanya.

Beliau berkata pemilik premis juga perlu memastikan tanda larangan merokok yang mencukupi serta jelas dipamerkan di bahagian yang mudah dilihat di tempat makan.

Katanya pelaksanaan itu merupakan perluasan pewartaan di tempat makan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 dengan penguatkuasaan pendidikan selama setahun.

“Kerjasama dan sokongan daripada semua pihak terutama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan PPKHT 2004 sepenuhnya bermula 1 Januari 2020 berjalan lancar demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.


Pengarang :