Datuk Mohd Azis Jamman. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pindaan SOSMA dibentang dalam sesi Parlimen akan datang

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dijangka dibentang pada sesi Parlimen akan datang, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata kementerian kini dalam proses memuktamadkan Rang Undang-undang bagi pindaan SOSMA yang memerlukan penelitian dan kajian lanjut kerana dikhuatiri terdapat kelompongan perundangan dalam akta-akta sedia ada yang lain.

“Terutamanya di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan SOSMA ini digubal dan memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang bagi menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.

“Walaupun undang-undang itu berlawanan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 5 iaitu kebebasan diri, Perkara 9 (larangan buang negeri dan kebebasan bergerak), Perkara 10 (kebebasan berhimpun, bercakap dan menubuhkan persatuan) dan Perkara 13 (hak terhadap harta),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan jawab lisan pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Lee Tian Sing yang mahu kerajaan menyatakan kepentingan SOSMA sedangkan Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara maju dan berjanji ia tidak akan disalah guna pihak berkuasa untuk kepentingan politik.

Mengulas lanjut, Mohd Azis memberi jaminan antara fokus utama pindaan akta berkenaan adalah untuk memastikan ia tidak disalah guna, dengan kajian menyeluruh terutama dari aspek perundangan dan hak asasi manusia akan dilaksanakan.

Katanya satu jawatankuasa dianggotai antara lain Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan ahli akademik telah ditubuhkan.

“Jawatankuasa (itu) juga memberikan pandangan dari segi implikasi keselamatan yang akan timbul sekiranya akta tersebut dipinda atau dimansuhkan,” katanya.

Mengenai pertanyaan Senator Raj Munni Sabu yang ingin tahu mengapa undang-undang bersifat ‘drakonian’ berkenaan tidak dihapuskan, Mohd Azis berkata undang-undang sedemikian perlu dalam menghadapi kompleksiti ancaman keganasan dan sebagai pencegahan kepada ‘mereka’ untuk melakukan perkara-perkara yang sebenarnya beroperasi di luar negara.

“Jangan bimbang jawatankuasa kita bentuk ini melibatkan pelbagai latar belakang, Suhakam ada, Majlis Peguam pun ada, insya-Allah ia akan dibawa ke Parlimen dan akan dibahas, bila perbahasan dilakukan kita akan lihat kesudahannya dan jika diluluskan, saya yakin ia mampu kawal keselamatan negara kita,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :