A. Xavier Jayakumar
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tarif air baharu tahun depan – Xavier

SHAH ALAM, 6 DIS: Semua negeri secara dasarnya bersetuju melaksanakan pelarasan kadar tarif air yang dijangka dilaksanakan tahun depan, dan ketika ini Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli masih lagi mengadakan rundingan lanjut berhubung beberapa perkara sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.

Menterinya, Datuk Dr A. Xavier Jayakumar berkata, beliau akan mengadakan perbincangan penuh dengan negeri-negeri yang berkaitan, mengenai isu tarif baharu air itu, tidak lama lagi.

“Tarif air belum pernah disemak semula sejak 20 tahun lepas. Kita mahu rakyat faham bahawa industri air ini memerlukan dana yang banyak untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan. Bagaimanapun, kerajaan beri jaminan yang tarif air (baharu) tidak akan membebankan pengguna,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan bangunan asrama Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midlands, di sini, semalam, beliau berkata, kadar baharu tarif utiliti itu juga akan dipastikan tidak melebihi dua peratus daripada perbelanjaan isi rumah yang dilihat sebagai munasabah.

Xavier berkata, kerajaan juga bersedia untuk meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wasia) tahun depan bagi memperkemaskan prosedur serta peraturan berkaitan, antaranya untuk melibatkan syarikat swasta dalam usaha membangunkan industri air negara.

“Kita harus lihat keseluruhan industri ini. Jika mahu bekalan air 24 jam 365 hari, maka semua pihak harus faham yang industri ini memerlukan perbelanjaan besar (untuk memastikan kelancarannya),” katanya dan menambah perbelanjaan perkhidmatan air yang besar pada masa ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Pada Oktober lalu, kerajaan memberi jaminan Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) Air yang dijangka dilaksanakan pada tahun depan tidak membebankan isi rumah berpendapatan rendah.

Cadangan pelaksanaan mekanisme itu melibatkan kenaikan antara 0.06 sen hingga 0.71 sen bagi setiap 1,000 liter, cukup rendah jika dibandingkan dengan bayaran utiliti lain seperti elektrik, gas serta telekomunikasi, tambahan pula purata kadar tarif air pada masa ini adalah rendah iaitu RM1.38 bagi tiap 1,000 liter berbanding kos sebenar iaitu RM2.31 bagi setiap 1,000 liter.

– BERNAMA


Pengarang :