EXCO Kerajaan Negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
ADNSELANGOR

300 pelajar DUN Sungai Kandis terima bantuan tunai

SHAH ALAM, 5 JAN: Seramai 300 pelajar terdiri daripada golongan kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menerima bantuan tunai persekolahan ‘Back to School’ (Kembali Ke Sekolah), semalam.

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, sumbangan berkenaan merupakan bantuan daripada Kerajaan Negeri melalui Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

Katanya, bantuan terbabit bukti keprihatinan Kerajaan Negeri membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah yang berhadapan masalah kewangan.

“Bantuan ini diserahkan MBI untuk semua DUN setiap tahun.

“Untuk DUN Sungai Kandis, kita mengagihkannya kepada 300 pelajar bagi membantu mereka ketika musim persekolahan baharu ini,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Zawawi berkata, dengan bantuan tunai sebanyak RM100 kepada setiap pelajar, sesi persekolahan golongan kurang bernasib baik itu akan lebih ceria dan bermakna.

Katanya, nilai sumbangan itu mungkin kecil untuk sesetengah keluarga tetapi besar maknanya kepada penerima bantuan.

Pada masa sama, beliau berharap supaya pelaksanaan program ‘Back to School’ itu akan dapat mendorong dan menyuntik semangat kepada pelajar untuk berusaha gigih dalam pelajaran masing-masing.

“Saya mahu mengingatkan supaya ibu bapa melaksanakan amanah membesarkan dan mendidik anak dengan baik.

“Sumbangan pendidikan diberi untuk tujuan pendidikan ini supaya anak-anak dapat belajar dengan sempurna dan selesa,” katanya.


Pengarang :