AGENDANASIONAL

EAC fokus 2020 tingkat pelaburan, kukuh produktiviti negara

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) akan memberi tumpuan utama kepada aspek peningkatan pelaburan selain mengukuhkan produktiviti dan inovasi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi pada 2020.

Dalam mesyuarat pertamanya tahun ini yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Majlis tersebut akan turut memberi perhatian kepada usaha untuk menangani isu pengangguran menerusi penambahbaikan kualiti graduan melalui program latihan peningkatan kemahiram selain menangani isu kos sara hidup.

“Seiring dengan usaha ke arah membangunkan ekonomi digital sebagai persediaan menghadapi era Revolusi Industri 4 (4IR), EAC juga telah memperhalusi cadangan berkaitan pembangunan infrastruktur digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Isu yang dibincangkan termasuk cadangan perkongsian infrastruktur yang bertujuan mengoptimumkan perbelanjaan sedia ada dan membolehkan perkhidmatan kesalinghubungan jalur lebar disediakan dalam tempoh yang lebih singkat,” kata urusetia EAC menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan sasaran Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dapat dilaksanakan sepenuhnya, semua pihak termasuk syarikat pembekal perkhidmatan, kerajaan negeri, kementerian dan agensi yang berkaitan, digesa memberi kerjasama penuh.

Sementara itu, EAC menjangkakan tahun 2020 akan lebih mencabar ketika kedudukan ekonomi dunia yang masih belum meyakinkan berikutan kemelut perang dagang Amerika Syarikat dan China yang berterusan serta situasi geopolitik serantau yang berpanjangan.

Ketegangan di Timur Tengah juga dilihat boleh menjejaskan harga minyak mentah dunia, yang akan memberi kesan kepada pengeluaran sektor tenaga, katanya.

“Situasi ini mengurangkan keyakinan pelabur untuk melabur di negara membangun, justeru memberi kesan kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

EAC berperanan untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.

Majlis itu ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak ke atas maklum balas rakyat terhadap masalah yang di hadapi, khususnya dalam bidang ekonomi.

– BERNAMA


Pengarang :