Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika sidang media Pengecualian Cukai dan Dasar 100 hari di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 24 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri tetap harga ambang hartanah untuk warga asing

BATU CAVES, 24 JAN: Harga ambang bagi pembelian hartanah oleh warga asing dikurangkan kepada RM1.5 juta bagi jenis strata dan RM2 juta untuk banglo atau rumah berkembar berkuat kuasa 1 Januari lalu, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri menetapkan penurunan harga selepas membuat penilaian data dibentangkan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic).

“Harga ditawarkan hanya untuk unit hartanah yang mendapat sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC) sehingga 2018 dan ia unit belum terjual sehingga 31 Disember tahun yang sama.

“Langkah ini dijangka membantu menyelesaikan masalah lambakan hartanah tidak terjual di Selangor,” katanya dalam sidang media di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak di sini hari ini.

Beliau berkata harga ambang ditetapkan masih tinggi di Malaysia berbanding RM600,000 diputuskan kerajaan Persekutuan dan RM1 juta di Kuala Lumpur.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak menetapkan sebarang peratusan penurunan jumlah lambakan hartanah tidak terjual dan akan menilai semula dasar ini dalam tempoh setahun selepas dilaksana.


Pengarang :