AGENDANASIONAL

MOA harap lebih ramai belia ceburi bidang pertanian

KOTA BHARU, 30 JAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) berharap lebih ramai pembabitan belia dalam bidang pertanian bagi mengurangkan kebergantungan barangan import selain mampu menjana pendapatan lumayan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata tahun lepas Malaysia terpaksa mengimport produk pertanian dengan nilai keseluruhan berjumlah RM52 bilion.

“Banyak lagi tanaman yang masih lagi tidak dapat menampung permintaan, misalnya durian, nanas MD2, ubi, serai, kunyit, keledek dan sebagainya. Jadi dengan penglibatan lebih ramai anak muda dalam semua sektor pertanian sekurang-kurangnya ia dapat membantu menampung permintaan.

“Saya juga berharap MOA bukan hanya dapat membekalkan kecukupan makanan, namun mampu untuk menjadikan makanan yang dikeluarkan untuk dieksport ke luar negara,” katanya semasa berucap di Majlis Penyampaian Amanat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Warga MOA Kelantan di Dewan Serai Wangi Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Husam Musa, serta kira-kira 300 kakitangan jabatan dan agensi di bawah kementerian itu di Kelantan.

-BERNAMA


Pengarang :