BERITA UTAMA

Pemandu mabuk perlu hukuman lebih berat- Polis

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Hukuman lebih berat perlu dikenakan kepada individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias.

Azisman berkata Polis akan mengadakan perbincangan berhubung perkara itu dengan Kementerian Pengangkutan serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam masa terdekat.

“Perbincangan dari sudut perundangan akan dibuat dan saya percaya masyarakat juga mengalu-alukan perkara ini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman semalam mengulas peningkatan kes kemalangan maut melibatkan individu memandu di bawah pengaruh alkohol.

Seksyen 45A (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan kepada pemandu mabuk.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara tidak lebih 12 bulan.

-BERNAMA


Pengarang :