Juwairiya Zulkifli. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor dicadang bantu NGO lindungi mangsa keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 31 JAN: Institut Wanita Berdaya (IWB) mencadangkan Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang mengurus rumah perlindungan mangsa keganasan rumah tangga, kata pengerusinya.

Juwairiya Zulkifli berkata, peruntukan itu bagi menampung sebahagian kos operasi mahupun tambahan rumah perlindungan baharu berikutan permintaannya yang semakin meningkat.

“Tidak dinafikan sememangnya kita masih kekurangan pusat perlindungan wanita, sedangkan kes keganasan rumah tangga dicatatkan meningkat saban tahun.

“Pada masa sama Kerajaan Negeri perlu mengkaji keperluan bagi penyelarasan undang-undang, kualiti serta garis panduan operasi pusat perlindungan di Selangor mahupun negeri lain,” katanya mengulas laporan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) yang menggesa supaya kerajaan memperbanyakkan jumlah rumah perlindungan wanita di Selangor.

Menurut laporan itu, sehingga kini hanya 10 rumah seumpama itu dibina sedangkan kadar populasi di negeri ini mencecah sekitar 6.5 juta orang.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata, kajian WAO itu disokong dengan geran penyelidikan IWB bagi mencapai matlamat kelima dan keenam Dasar Wanita Selangor iaitu meningkatkan kesihatan, kesejahteraan serta bebas daripada keganasan dan ketakutan.

“Ia juga selaras dengan seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah Matlamat Pembangunan Lestari yang kelima iaitu kesaksamaan gender,” katanya.


Pengarang :