Seorang pegawai kesihatan memeriksa penumpang dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura pada 22 Januari 2020 ketika pihak berwajib meningkatkan pemeriksaan terhadap koronavirus. Foto AFP
AGENDA GLOBAL

Singapura sahkan kes keempat koronavirus

SINGAPURA, 26 JAN: Singapura mengesahkan kes import keempat jangkitan koronavirus Wuhan di republik itu.

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam kenyataan berkata kes keempat yang disahkan itu melibatkan seorang lelaki warga China berumur 36 tahun dari Wuhan yang tiba bersama keluarganya di Singapura pada 22 Januari.

Beliau ketika ini dirawat di wad isolasi Sengkang General Hospital (SKH) dan keadaannya stabil, menurut kementerian itu.

Menurut MOH, beliau dilaporkan asimptomatik semasa penerbangan ke Singapura.

Beliau mengalami batuk pada 23 Januari dan mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan SKH pada hari berikutnya, menurut kenyataan itu.

“Beliau disyaki dijangkiti virus itu dan segera diasingkan,” menurut kementerian itu, sambil menambah keputusan ujian berikutnya mengesahkan jangkitan koronavirus pada 9.30 malam, 25 Januari.

Sebelum dimasukkan ke hospital, MOH berkata lelaki itu tinggal di Village Hotel Sentosa.

MOH berkata ia telah memulakan penyiasatan epidemiologi dan pengesanan sentuh bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai kontak rapat dengan lelaki itu.

Kes pertama jangkitan virus itu diumum pada 23 Januari dan dua lagi pada hari berikutnya.

-BERNAMA


Pengarang :