AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Syarikat dalam sektor kereta api disaran kembang kepakaran ke luar negara

SERENDAH, 13 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa syarikat kereta api untuk mengeksport kepakaran mereka ke luar negara dan meneroka perniagaan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada negara.

Beliau berkata kerajaan percaya mengeksport bukan hanya bahan mentah tetapi juga barangan siap dan kepakaran.

“Kami membuat keputusan untuk landasan kereta api berkembar elektrik berikutan kereta api sebelum ini tidak dapat bergerak pada kelajuan yang tinggi kerana kita hanya mempunyai satu landasan.

“Kini, kita mempunyai dua landasan dan saya rasa dalam ASEAN, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai landasan kereta api elektrik.

“Bagaimanapun, ia memakan belanja yang tinggi, dan kita perlu melakukannya bahagian demi bahagian,” katanya kepada pemberita dalam lawatan beliau ke depot Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) Serendah hari ini.

Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, usaha sama antara DMIA dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, merupakan kontraktor bagi projek Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT) Fasa 2 bernilai RM4.475 bilion.

Dhaya Maju juga merupakan kontraktor bagi KVDT1 bernilai RM1.41 bilion, yang melibatkan menaik taraf jajaran Rawang-Salak Selatan dan Sentul-Simpang Batu.

Sehingga 30 Jun, sebanyak 80.3 peratus daripada KVDT1 telah siap, dengan projek dijadualkan diserahkan pada tahun depan, lewat sedikit daripada sasaran awal.

Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) telah merundingkan semula kontrak itu dan kos dapat diturunkan sebanyak 15 peratus kepada nilai semasa sebanyak RM4.475 bilion berbanding nilai asal, RM5.26 bilion.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan penjimatan kos projek itu, beliau berkata: “Jika kita dapat menjimatkan wang tetapi perlu import (kepakaran) daripada orang lain, ia tiada gunanya. Kita perlu belajar. Jika kita mahu belajar, kita perlu membayar kos itu.

“Pada awalnya, ia mungkin tidak baik; tetapi lama kelamaan, kita (syarikat tempatan) akan meningkat dan mencapai standard yang sama seperti negara maju yang lain.”

Dr Mahathir turut mengiktiraf usaha syarikat Malaysia dalam meningkatkan kemahiran mereka dalam industri.

– BERNAMA


Pengarang :