BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Air Selangor catat sejarah, kawal kadar air tidak berhasil

SHAH ALAM, 3 FEB: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) mencatat sejarah apabila berjaya merekodkan penurunan kadar purata Air Tidak Berhasil (NRW) ke paras 28.73 peratus pada 2019, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Suhaimi Kamaralzaman dalam kenyataan media berkata penurunan 1.78 peratus berbanding 2018 (30.51 peratus) adalah jauh lebih baik daripada sasaran bagi 2019 iaitu 29.5 peratus.

Katanya 2,787 kes paip pecah direkodkan pada 2019, berkurangan 28 peratus berbanding 3,871 kes pada 2018.

Berikut adalah kenyataan media penuh berikut:

AIR SELANGOR CATAT PURATA KADAR AIR TANPA HASIL TERBAIK DALAM SEJARAH PADA TAHUN 2019 (28.73%)

Kuala Lumpur –Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (“Air Selangor”) telah mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya merekodkan penurunan kadar purata Air Tidak Berhasil atau Non Revenue Water (NRW), ke paras 28.73 % pada tahun 2019, iaitu penurunan sebanyak 1.78% berbanding tahun 2018 (30.51%). Pencapaian ini adalah jauh lebih baik daripada sasaran Air Selangorbagi tahun 2019 iaitu 29.5%.

Pencapaian ini diperolehi menerusi perancangan rapi dan pelaksanaan beberapa inisiatif dalaman (“in-house”) yang berterusan sejak tahun 2017. Dalam tempoh 3 tahun, kadar NRW berjaya dikurangkan sebanyak 2.79% iaitu daripada 31.52% kepada 28.73%.

Bersandarkan kepada rekod ini, Air Selangor positif bahawa sasaran penurunan sebanyak 1% kadar NRW setiap tahun akan dapat dicapai untuk tahun-tahun berikutnya.

Penurunan pada kadar 1.78% NRW pada 2019 ini adalah satu jumlah yang besar iaitu menyamai dengan 64.65 juta liter sehari (JLH), 11,754 lori tangki sehari atau 26 buah kolam renang bersaiz Olimpik.

Penurunan NRW ini telah secara langsung menyumbang kepada penjimatan kos operasi Air Selangor sebanyak RM 35.4 juta.Pencapaian ini turut disumbangkan oleh kejayaan syarikat dalam mengurangkan kadar kes paip pecah.

Sebanyak 2,787 kes paip pecah telah direkodkan pada tahun 2019, berkurangan sebanyak 28% berbanding 3,871 kes pada 2018. Daripada jumlah itu, 295 kes adalah disebabkan oleh pihak ketiga.

Ini membuktikan bahawa pada tahun 2019 Air Selangor telah mencapai progres yang amat baik apabila hanya 9 kes paip pecah direkodkan bagi setiap 100 km berbanding tanda aras antarabangsa terhadap Indeks paip pecah (PBI) iaitu 13 kes paip pecah bagi 100 km setahun.

Bagi kes paip bocor pula, peningkatan kes telah dicatatkan pada tahun 2019 iaitu sebanyak 108,759 bilangan kes berbanding 104,033 kes pada tahun 2018. Peningkatan ini merupakan kesan positif program pengesanan kebocoran yang telah dilaksanakan secara dalaman oleh pihak syarikat.

Kadar kehilangan air juga berjaya dikurangkan menerusi pemasangan sensor pada paip-paip utama bagi membolehkan pemantauan tekanan air dilakukan dan mengesan ‘pressure transient’.

Data yang diperolehi oleh Pusat Kawalan Operasi Pintar melalui pelan ini akan memastikan kerja-kerja pembaikan paip dapat dilaksanakan dengan lebih proaktif. Selain itu sistem SCADA dan Data Loggerturut digunakan untuk memantau limpahan air dengan mengawal paras air di 1,601 kolam-kolam air dan 731 rumah pam.

Penggantian sebanyak 318,839 meter-meter lama dan meter tersekat ke meter baharu pada tahun 2019 berjaya mengatasi kehilangan komersial yang disebabkan oleh bacaan meter yang tidak tepat.

Manakala kerjasama Air Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut menyumbang kepada pencegahan aktiviti kecurian air akibat sambungan haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Untuk tahun 2020, lebih kurang RM171.63 juta telah diperuntukkan berbanding RM164 juta pada 2019 untuk pelaksanaan program menurunkan kadar NRW dan kerja-kerja penggantian meter.

Selain itu, sebanyak RM144.5 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penggantian paip lama dan kerap pecah berbanding RM161.9 juta pada 2019 untuk penggantian paip sepanjang 168.34 km.

Air Selangor yakin bahawa inisiatif dan program berterusan untuk mengurangkan kadar NRWakan terus menghasilkan kadar penurunan NRW yang baik menjelang hujung tahun ini.

SUHAIMI KAMARALZAMAN
Ketua Pegawai Eksekutif
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd


Pengarang :