AGENDAEKONOMI

Asia Tenggara perlukan 4,500 pesawat baharu dalam tempoh 20 tahun – Boeing

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Pengeluar pesawat Boeing menganggarkan syarikat penerbangan di Asia Tenggara akan memerlukan sebanyak 4,500 kapal terbang baharu, yang mana secara keseluruhan mencecah nilai US$710 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Kapal terbang satu lorong terus menjadi pemacu utama pertumbuhan kapasiti di Asia Tenggara, katanya.

“Pertumbuhan ini membantu merangsang permintaan bagi perkhidmatan penerbangan komersial, yang dijangka bernilai US$785 bilion di antara 2019 dan 2038,” katanya dalam satu nota hari ini.

Menurut Naib Presiden Pemasaran Komersil Randy Tinseth, tiga buah negara dari Asia Tenggara iaitu Vietnam, Thailand, dan Indonesia berada di dalam senarai 10 negara yang aktif menambah kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan, masing-masing sejak 2010.

Daripada tiga negara itu, Vietnam merekodkan pertumbuhan yang kukuh pada hampir 15 peratus setahun, diikuti Thailand dan Indonesia pada kira-kira 10 peratus.

“Dengan golongan menengah yang semakin berkembang dalam pasaran yang terus mengalami liberalisasi, ditambah pula dengan sektor pelancongan domestik, serantau dan antarabangsa yang mantap. Asia Tenggara merupakan di antara pasaran penerbangan yang terbesar,” katanya.

Di seluruh dunia, Boeing meramalkan keperluan untuk 44,040 kapal terbang komersial baharu bernilai US $6.8 trilion dan permintaan untuk perkhidmatan selepas pasaran berjumlah US$9.1 trilion dalam tempoh 20 tahun akan datang.

-BERNAMA


Pengarang :