Sebahagian struktur kondomunium 37 tingkat yang sedang dalam pembinaan di Taman Desa Jalan Klang Lama runtuh pada 14 Februari lalu. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Khalid: Struktur kondominium di Taman Desa mungkin tidak ikut spesifikasi

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Struktur asas yang tidak kukuh atau tiang yang tidak menepati spesifikasi berkemungkinan punca sebahagian struktur kondominium 37 tingkat di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini runtuh, semalam, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

“Bangunan itu didapati runtuh sebelum hujan. Ia bukan tanah runtuh dan kejadian berlaku sebelum hujan. Mungkin struktur bangunan itu sendiri tidak mengikut spesifikasi sehingga roboh daripada tingkat enam hingga ke bawah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program ‘Kempen KITA’ di Perumahan Awam Seri Perak di Sentul, hari ini.

Bagaimanapun, Khalid berkata siasatan dan kajian mendalam perlu dilakukan untuk mengetahui punca sebenar runtuhan itu.

Jelasnya, berikutan insiden itu pembinaan projek kondominium dihentikan serta-merta bagi memberi laluan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan membuat penilaian.

Khalid turut menasihati semua pemaju supaya tidak menggunakan jalan pintas ketika melaksanakan projek pembinaan.

“Dalam hal ini, tiada siapa pun yang untung. Pemaju sepatutnya mengikut semua prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Dalam kejadian itu, dua warga Bangladesh dilaporkan terperangkap di tingkat satu selepas lantai tempat letak kereta di tingkat enam kondominum dalam pembinaan runtuh pada 3.40 petang.

Mangsa pertama diselamatkan pada 5.15 petang, manakala mangsa kedua pada 9.40 malam.

-BERNAMA


Pengarang :