Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bergambar dengan sebahagian belia yang hadir pada pelancaran Projek Reben Kuning 2020 di Spacerubix di Puchong pada 18 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Lebih 24,000 belia dapat manfaat Projek Reben Kuning

PUCHONG, 18 FEB: Seramai 24,234 belia mendapat manfaat daripada Projek Reben Kuning pada 2019, projek perintis bagi membantu belia berisiko membina kehidupan lebih baik selepas menjalani hukuman.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata manfaat diperoleh hasil kerjasama kementerian dengan pihak swasta yang menyediakan peluang kepada belia terlibat antaranya latihan kemahiran, keusahawanan, kebolehpasaran dan kesedaran.

“Ada banyak jenis bantuan disediakan dalam memastikan anak-anak ini bangkit semula selepas melakukan kesilapan kerana kerajaan bertanggungjawab membantu mereka mengorak langkah ke hadapan.

“Justeru, saya meminta lebih banyak syarikat swasta tampil menjalinkan kerjasama untuk membantu belia berisiko kembali berbakti kepada masyarakat tanpa dibelenggu kesilapan masa lalu,” katanya selepas melancar projek itu bagi edisi kedua di Spacerubix di sini hari ini.

Projek Reben Kuning dilancarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertujuan memberi peluang kedua kepada bekas penghuni penjara dan sekolah pemulihan akhlak terutama daripada belia.

Projek itu digerakkan oleh lima kluster iaitu kemahiran, sukan, keusahawanan, kebolehpasaran dan kempen kesedaran.

Bagi tahun kedua projek itu, Syed Saddiq berkata KBS mengetengahkan tujuh inisiatif baharu iaitu pembinaan sahsiah dan jati diri dalam kalangan peserta, latihan intensif kemahiran, latihan intensif keusahawanan, peluang pekerjaan melalui sukan, pencapaian kerja program, advokasi sistem sokongan masyarakat serta 12 pelan strategi promosi.

-BERNAMA


Pengarang :