Gambar hiasan. Grafik Selangorkini
AGENDAEKONOMI

Peningkatan perbelanjaan kerajaan pacu ekonomi, sektor swasta

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Sebarang usaha meningkatkan perbelanjaan kerajaan pada tahun ini disifatkan penting bagi memacu ekonomi Malaysia berikutan kemungkinan sektor swasta memperlahankan aktiviti susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat pelbagai faktor luaran, kata penganalisis.

Ini termasuk perang dagangan global, perkembangan geopolitik di Asia Barat, lebihan bekalan minyak mentah dan terbaharu penularan koronavirus 2019 (Covid-19) yang dijangka memberi kesan serius terhadap ekonomi China, sekurang-kurangnya bagi tempoh separuh tahun ini, kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Jelas beliau, memandangkan ekonomi China turut mempengaruhi ekonomi global menerusi rantaian bekalan, kejutan ketara akibat penularan virus berkenaan akan turut menjejaskan aktiviti pengeluaran di negara ini.

“Ini pasti memberi kesan besar kepada ekonomi yang bergantung kepada pasaran China bagi tujuan eksport selain sumber bahan mentah seperti import dari negara tersebut.

“Sehubungan itu, terdapat alasan kukuh bagi kerajaan (Malaysia) untuk merangka serta menyasarkan rangsangan fiskal bagi memastikan ekonomi domestik terus berkembang pada tahap sepatutnya dan mampu menampan kelemahan dari luar negara.

“Peranan sektor swasta misalnya terbukti penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lepas yang menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh pada 4.3 peratus,” katanya kepada Bernama.

Pada awal hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 3.6 peratus pada suku keempat 2019, menjadikan pertumbuhan KDNK tahun penuh sebanyak 4.3 peratus iaitu terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pertumbuhan KDNK bagi 2019 sepatutnya lebih tinggi pada 4.7 peratus jika tidak terdapat gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

-BERNAMA


Pengarang :