Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias (kanan). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Polis lancar Op Mabuk setiap hari sejak minggu lalu

SHAH ALAM, 21 FEB: Dalam usaha membendung kemalangan membabitkan pemandu mabuk, polis menggandakan operasi di seluruh negara bagi membanteraskan kes-kes tersebut, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada semua ibu pejabat polis agar mengadakan operasi `Op Mabuk’ pada setiap hari, lapor Malay Mail hari ini.

“Op Mabuk telah dimulakan polis Kuala Lumpur dan kini diperluaskan ke semua negeri,” katanya.

Katanya, anggota polis yang menyertai operasi yang dimulakan sejak minggu lalu dilengkapi dengan alat ujian penafasan elektronik bagi mengesan pemandu yang meminum arak.

Menurut Azisman, pada bulan lalu seramai 316 daripada 3,702 orang yang diperiksa ditahan di seluruh negara kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Penahanan itu dilakukan dalam 116 operasi yang dijalankan.

Pada tahun lalu pula dilaporkan seramai 919 individu pemandu mabuk ditahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Angka tersebut meningkat 57 orang berbanding 862 orang pada tahun 2018, lapor Bernama.


Pengarang :