AGENDAEKONOMI

Sektor binaan pacu ekonomi tahun ini

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kerajaan berkemungkinan besar meningkatkan pelaksanaan projek pembinaan pada separuh kedua 2020 bagi menyokong pertumbuhan ekonomi berikutan cabaran di peringkat luaran, demikian menurut Affin Hwang Capital.

Dalam notanya hari ini, firma penyelidikan itu berkata selain merangka pakej rangsangan ekonomi untuk menangani impak koronavirus 2019 (Covid-19), kerajaan dijangka menumpukan aspek perbelanjaan bagi membantu kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor pengeluaran dan pelancongan yang terjejas akibat penularan virus tersebut.

“Bagaimana pun, peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak empat peratus tahun ke tahun kepada RM56 bilion dalam Belanjawan 2020 serta projek infrastruktur berskala besar yang dihidupkan semula adalah memadai untuk merangsang sektor pembinaan,” katanya.

Menurut Affin Hwang, kerajaan juga diunjurkan mempercepatkan perbelanjaan infrastruktur pada tahun ini bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menyamai langkah pada 2001, 2003, 2008 dan 2009 menerusi pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi untuk menampan sebarang penyusutan.

Pada Mei 2003 misalnya, kerajaan telah mengumumkan rangsangan ekonomi RM7.3 bilion untuk mengurangkan impak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dengan tumpuan menyokong perbelanjaan swasta dan membantu PKS serta perniagaan berkaitan pelancongan.

Antara projek infrastruktur berskala besar dijangka dihidupkan semula tahun ini adalah Projek Bas Rapid Transit, Projek Sistem Transit Rapid (antara Johor Bahru dan Singapura) dan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

Selain itu, ‘nasib’ mengenai kemungkinan projek lain yang disambung semula seperti Laluan 3 Transit Aliran Massa Lembah Klang, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dan Projek Rel Berkelajuan Tinggi KL-Singapura juga dijangka diketahui pada tahun ini.

“(Berikutan itu) kami mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor pembinaan dengan belian utama membabitkan saham syarikat Gamuda, SunCon, AQRS dan HSS, Konsortium AME Elite, Pintaras Jaya serta Taliworks,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :