Orang ramai dinasihat tidak membuat pembelian panik barangan keperluan asas susulan pelbagai dakwaan palsu mengenai jangkitan Covid-19. Tinjauan di salah sebuah pasar raya di Kuantan pada 16 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bekalan makanan negara cukup, elak belian panik

SHAH ALAM, 19 MAC: Bekalan makanan di negara ini berada pada tahap stabil dan terkawal, kata menteri pertanian dan industri makanan.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pengeluaran beras negara dalam purata 400,000 hingga 500,000 tan metrik sebulan berbanding keperluan bulanan 200,000 tan metrik, lapor Berita Harian.

“Pengeluaran ayam pula antara 57 sehingga 59 juta ekor sebulan berbanding penggunaan bulanan antara 43 sehingga 45 juta ekor.

“Begitu juga bekalan telur yang mana pengeluaran bulanan sebanyak 800 juta biji berbanding penggunaan bulanan sekitar 620 sehingga 630 juta biji sebulan,” katanya.

Ronald berkata, bekalan makanan lain terutama ikan, sayur dan buah tidak menunjukkan perubahan ketara bagi suku pertama tahun ini.

“Selain itu kerajaan juga mengimport 18,000 tan metrik daging sejuk beku lembu dan kerbau dari Australia dan India yang mencukupi untuk menampung keperluan semasa,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata kerajaan akan memastikan bekalan makanan mencukupi selain meminta orang ramai tidak melakukan pembelian panik dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu.


Pengarang :