Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan bantuan pendidikan dari Worldwide Holdings pada Majlis Graduasi Qurra’ Maahad Integrasi Tahfiz Selangor kali ketujuh di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 13 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Catat keputusan terbaik, dua pelajar tahfiz ditaja lanjut pelajaran

OLEH AMIN RIDZUAN ISHAK

SHAH ALAM, 13 MAC: Dua pelajar maahad integrasi tahfiz Selangor (MITS) yang meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia ditaja Worldwide Holdings Berhad (WHB) untuk melanjutkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua pelajar aliran sains yang ditaja melalui program Worldwide Prihatin akan melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan.

“Sebagai permulaan, WHB akan menaja dua pelajar ini bagi melahirkan huffaz profesional dalam kejuruteraan yang akan ditempatkan di Uniten, Bangi.

“WHB turut memberi penekanan menaik taraf sistem pembelajaran murid-murid Kelas al-Quran dan Fardhu Ain Integrasi termasuk memberi anugerah khas kepada guru cemerlang melalui kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Graduasi Qurra’ MITS kali ketujuh di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

WHB memperuntukkan RM382,950 khusus memperkasa pendidikan, sekali gus perintis kepada syarikat korporat lain melahirkan huffaz profesional.


Pengarang :