Logo Sukma XX Johor 2020
AGENDASUKANKINI

Covid-19: Sukma Johor 2020 ditangguh

SHAH ALAM, 25 MAC: Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) sebulat suara bersetuju menangguhkan Sukma Johor 2020 ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, kata menteri belia dan sukan.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata keputusan tersebut mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih, pegawai serta semua yang terlibat dalam temasya tersebut.

“Mesyuarat juga mengenal pasti dua cadangan tarikh yang menjadi pilihan majoriti iaitu pada Disember 2020 atau dianjakkan ke 2021 setelah mengambil kira pemantauan berterusan perkembangan wabak Covid-19, tiada pertindihan dengan tarikh penting lain seperti peperiksaan awam, acara sukan utama.

“Mesyuarat juga meneliti kepentingan semua pemegang taruh Sukma Johor 2020, khususnya Johor sebagai tuan rumah,” katanya dalam kenyataan.

Jawatankuasa itu turut bersetuju tarikh baharu akan diputuskan secepat mungkin pada mesyuarat mereka akan datang, selewat-lewatnya pada awal Mei ini.

Reezal Merican turut meminta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Para Sukma Johor 2020 mengambil tindakan sama menangguhkan temasya tersebut yang dijadualkan selepas Sukma.

Sebelum ini, Sukma 2020 ditetapkan pada 11 hingga 19 Julai manakala Para Sukma dijadualkan pada 16 hingga 22 Ogos.


Pengarang :