Datuk Huzir Mohamed. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMAJENAYAH

Hina Agong di Facebook, lelaki tempatan ditahan

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Polis semalam menahan seorang lelaki tempatan kerana memuat naik status menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed menerusi satu kenyataan berkata suspek berusia 35 tahun itu dikatakan memuat naik status menghina Al-Sultan Abdullah menerusi akaun Facebook Aaron Yee.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman juga sedang menyiasat pemilik akaun Gavin Lee dan Haizad Azhar kerana melakukan kesalahan yang sama,” katanya.

Huzir juga berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap status yang dimuat naik pemilik akaun Twitter Fadiah Nadwa Fikiri @FadiahNadwa kerana mempunyai unsur-unsur hasutan.

“Status dimuat naik ini boleh mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan dan boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Huzir menggesa orang ramai agar mendukung prinsip rukun negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara serta tidak membuat, menerbit atau mengedarkan apa-apa kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut sehingga mendatangkan suasana tidak harmoni.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang tindakan menyalahi undang-undang dan akan bertindak tegas mengheret pesalah ke muka pengadilan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :