AGENDANASIONAL

Jadi pengguna bijak, hati-hati buat belian dalam talian

SHAH ALAM, 27 MAC: Membeli barangan secara dalam talian memang digalakkan terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak Covid-19.

Namun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihatkan pengguna sentiasa berjaga-jaga ketika membuat pembelian.

KPDNHEP menerusi twitternya memaklumkan pengguna perlu menyemak sembilan info yang dipaparkan peniaga seperti harga, nama individu atau syarikat, nombor pendaftaran syarikat dan logo Biztrust sebelum membuat belian.

Selain itu, pengguna juga perlu tahu maklumat untuk dihubungi (nombor telefon, email), keterangan produk, kaedah bayaran, anggaran masa penghantaran, terma dan syarat jika ada.

“Waspada buat pembelian sepanjang PKP dan pastikan sembilan info di atas ada, buatlah pertimbangan sewajarnya,” tulisnya menerusi hantaran di Twitter @mykpdnhep.

Baru-baru ini KPDNHEP melakukan serbuan terhadap 223,000 unit topeng muka yang disorok dan penjualan lebih daripada harga maksimum menerusi urusniaga atas talian.


Pengarang :