Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KP Kesihatan: Dua bekas menteri negatif Covid-19

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Keputusan ujian tapisan Covid-19 seorang bekas menteri dan timbalan menteri yang dikaitkan dengan kes positif Covid-19 nombor 26 telah disahkan negatif, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata keputusan ujian swab nasofarinks kedua-dua individu dari Hospital Sungai Buloh telah diterima pada 3.30 petang semalam.

“Kami baru sahaja menerima keputusan penuh kedua-dua individu berprofil tinggi yang merupakan kontak rapat kes 26 dan kami telah mengesahkan bahawa keputusan akhir adalah negatif.

“Tindak balas rantai polimer masa nyata (RTPCR) bagi Covid-19 tidak dikesan oleh dua jenis RTCPR masa nyata,” katanya dalam hantaran di laman Facebook semalam.

Berita mengenai seorang bekas menteri serta timbalan menteri yang dikatakan kontak rapat kes 26 yang positif Covid-19 telah tular di media sosial sejak kelmarin dan oleh kerana kedua-duanya juga mempunyai kontak langsung dengan orang lain, termasuk pengamal media, telah mencetuskan kebimbangan bahawa mereka mungkin perlu menjalani tapisan kesihatan.

Terdahulu, bekas menteri yang dikatakan terdedah kepada seorang pesakit positif Covid-19 hari ini mengesahkan bahawa beliau telah diuji negatif jangkitan itu.

Bekas menteri dari Bersatu itu berkata beliau kini menjalani kuarantin di rumah bagi mematuhi prosedur operasi standard pengurusan Covid-19 Kementerian Kesihatan.

“Sudah jalani ujian pengesanan, ujian negatif, tetapi menjalani kuarantin sendiri di rumah,” katanya dalam jawapan ringkas melalui aplikasi WhatsApp kepada Bernama semalam.

“Saya sihat, Alhamdulillah,” kata wakil rakyat itu.

Sementara itu, timbalan menteri yang turut dikaitkan dengan perkara itu berkata beliau telah menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Saya telah jalani pemeriksaan hari ini di Hospital Sungai Buloh. Keputusan akan diketahui hari ini,” katanya semasa membalas mesej WhatsApp ketika ditanya mengenai keadaan dirinya.

Kedua-dua bekas menteri dan timbalan menteri berkenaan dikatakan menghadiri satu majlis apresiasi dan penghargaan yang diadakan untuk mereka di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis lepas, yang turut dihadiri seorang Ahli Lembaga UDA Holdings Berhad (UDA) yang disahkan positif Covid-19.

Dalam satu kenyataan semalam, UDA memaklumkan individu terbabit kini dikuarantin di sebuah hospital kerajaan selepas pengesahan ujian pengesanan Covid-19 baru-baru ini.

– BERNAMA


Pengarang :