AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bekalan air di tujuh wilayah pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 19 APRIL: Gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlaku sejak kelmarin akibat pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor pulih sepenuhnya hari ini, maklum Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama baik pengguna kepada semua warga kerja Air Selangor yang bertugas sepanjang misi bantuan dijalankan.

“Gunakan air dengan berhemat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” kata Abdul Halem Mat Som dalam kenyataan pagi ini.

Beliau turut menyarankan pengguna untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk maklumat bekalan air.

Abdul Halem berkata pengguna juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram Air Selangor atau layari pautan www.airselangor.com untuk pertanyaan dan bantuan.

Loji Rawatan Air Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor yang berpunca daripada kolam ternakan ikan.


Pengarang :