BERITA UTAMASELANGOR

MB: Jasa, pengorbanan warga TLDM dihargai

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Negeri menghargai pengorbanan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam mempertahankan keselamatan perairan negara, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi di Twitter sempena Hari TLDM ke-86 hari ini mengucapkan selamat menyambut ulang tahun dan khidmat bakti dicurahkan semua warganya amat dihargai rakyat.

“Jasa dan pengorbanan warga TLDM mempertahankan samudera negara sentiasa menjadi ingatan kepada semua rakyat Malaysia. Armada Siaga, TLDM Perkasa!” katanya.

Bertemakan Armada Siaga, TLDM Perkasa!, Hari TLDM ke-86 disambut ketika Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam perutusan khas berkata sambutan kali ini amat berlainan berbanding penuh adat istiadat ketenteraan sebelum ini.

Ini kerana, katanya, tahun ini warga ATM memikul tanggungjawab lebih besar sehingga sanggup mengetepikan keselamatan diri dan masa bersama keluarga demi melindungi masyarakat daripada ancaman wabak berkenaan.


Pengarang :