Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
AGENDANASIONAL

Pasukan Petugas Khas Covid-19 rayu KKM kongsi data

SHAH ALAM, 2 APRIL: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor merayu Kementerian Kesihatan (KKM) berkongsi data bagi kemudahan kumpulan itu melengkapkan pembangunan analitik dirancang, kata pengerusinya.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia tidak bermaksud maklumat diperlukan berkait data pesakit yang mesti kekal rahsia di bawah Akta Perubatan.

Jelasnya, analitik data dapat membantu mengawal penyakit, saringan komuniti bersasar secara lebih meluas dan mengerakkan saluran bantuan serta kebajikan termasuk menjaga kesihatan mental rakyat Selangor.

“Justeru, bagi mencapai tujuan ini satu landasan analitikal dengan keupayaan Analitik Data Besar dan Kepintaran Mesin dibangunkan supaya cadangan pasukan kami dapat disandarkan kepada kajian saintifik terkini yang berubah secara pantas dalam tempoh epidemik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perkongsian itu juga membolehkan pasukannya tidak hanya tertumpu kepada kes Covid-19 sahaja.

“Sebaliknya, ia turut mengambil kira taburan populasi terpinggir seperti ibu tunggal, warga emas, warga berpendapatan rendah dan faktor sosio ekonomi dalam menyusun perancangan,” jelasnya.


Pengarang :