Kakitangan Hospital Pakar KPJ Ampang menyimpan sampel ujian untuk dihantar ke makmal selepas mengendalikan saringan Covid-19 secara pandu lalu pada 9 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tidak semua petugas kesihatan perlu pakai sut khas PPE – KKM

SHAH ALAM, 14 APRIL: Petugas barisan hadapan dinasihatkan menggunakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) mengikut keperluan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemantauan dijalankan memastikan bekalan dan kadar penggunaan bagi setiap jenis PPE cukup di setiap negeri.

“Bukan semua petugas kesihatan perlu memakai semua jenis PPE pada masa mereka bertugas. Ini penting memastikan kadar dan pola penggunaan PPE di fasiliti kesihatan KKM ,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menyifatkan kekurangan PPE merupakan masalah global akibat Covid-19, beliau berkata KKM sedang dalam proses membeli kelengkapan tersebut secara pukal di peringkat pusat dan negeri.

KKM turut menjalinkan kerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi lain bagi memastikan isu berkaitan bekalan mendapat perhatian serius.

“Sumbangan PPE dari pelbagai pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan dermawan terus dialukan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka.

“Senarai nama, nombor telefon dan emel pegawai bagi setiap negeri dimaklumkan bagi membantu orang ramai dan kakitangan untuk memberi maklumbalas sekiranya didapati berlaku kekurangan PPE,” katanya.


Pengarang :